sumber : I luv Islam 
 
Bayu Bosphorus1 bertiup manja.  Kadang-kadang nakal menampar-nampar lembut wajah Fateh. Bau masin  laut menerawang di ruang udara. Berebut-rebut menerobos indera hidunya.  Indera lihatnya tidak puas-puas merakam keindahan pagi di tebing  Bosphorus  walaupun acapkali dia ke mari. Bogaziçi, begitulah gelaran untuk selat  ini dalam bahasa Turki. Dari jauh sayup-sayup kelihatan pelabuhan Golden Horn. Di pelabuhan itulah suatu ketika dulu 70 buah kapal milik pasukan  tentera Sultan Muhammad Al-Fateh mendarat. Gempar Maharaja Konstantine  ketika itu. Apa tidaknya, kapal-kapal itu dipindahkan menggunakan jalan  darat.  Kapal-kapal itu diluncurkan melalui Semenanjung Fera sejauh  tiga batu sebelum sampai ke Pelabuhan Golden Horn. Sungguh, Sultan  Muhammad  Al-Fateh berjaya menukar daratan menjadi lautan, melayarkan kapalnya  di puncak gunung dan bukan di ombak lautan. Dalam-dalam Fateh manarik  nafas. Matanya kejap dipejam. Seolah-olah mencari semangat Sultan  Muhammad  Al-Fateh yang masih tersisa di selat itu.  
  “Setiap kita harus menjadi  secekal Al-Fateh dan segagah Al-Ayyubi andai kita mahu menawan kembali  Baitul Maqdis. Palestin hari ini ialah Konstantinopel2. Setiap umat Islam seharusnya bercita-cita untuk menjadi Al-Fateh dan paling tidak pun  menjadi seperti tentera-tenteranya. Bukankah Sultan Muhammad Al-Fateh  itu sebaik-baik raja yang memimpin sebaik-baik tentera?” 
   
Kata-kata Safiyya bersipongang3 di segenap jihat4 fikiran Fateh. Atma5nya dijentik sebak. 
  
  
   “Bagaimana tanganmu, Safiyya?  Masih sakit lagi?” sapa Fateh. Dalam kesibukan merawat pesakit-pesakit  di musytasyfa6, Fateh sempat lagi mencuri ruang menjenguk Safiyya.  Keadaan  dalam hospital semakin sesak. Setiap inci tempat ada sahaja batang tubuh yang terbaring memerlukan bantuan perubatan. Entah sampai bila bangunan Musytasyfa al-Syifa ini boleh terus berdiri untuk menampung jumlah  pesakit  yang tidak menunjukkan tanda-tanda akan surut. 
 
   
Safiyya sekadar menguntum  senyum pada pemuda berkumis nipis berjanggut pandak7 itu. Fateh memeriksa keadaan tangan Safiyya.
  “Andai aku hilang tangan  kanan, aku masih punya tangan kiri untuk terus berjuang,”  mata  Safiyya bersinar galak. Tiada tergambar garis-garis kecewa  pada air  mukanya. Fateh terkesima. Teringat dia kisah Jaafar bin Abi Thalib dalam ghazwah8 Mu’tah. Walaupun kedua-dua tangannya dicantas musuh, panji  yang diamanahkan oleh Rasululah tidak dibenarkan mencium tanah. Dipeluk  panji dengan kedua-dua lengannya. Rasa kagum pada sahabat nabi yang  bergelar  At-Tayyar9 itu kini turut singgah pada Safiyya.
 
 
 “Abi ada datang menziarahiku?”  suara gadis itu sedikit kendur. Safiyya dalam keadaan tidak sedarkan  diri ketika dia dihantar ke hospital tempoh hari.  
 
 
 “Err...” Fateh gugup. Dia  hilang bicara. Sebetulnya Basil Mustapha tidak pernah kembali sejak  dia menghantar anak gadisnya.  
 
“Apa kamu bimbang aku tidak  tega mendengar berita kesyahidannya?” Safiyya menduga. Khali10.  
 
“Bahkan itu jawapan yang  paling aku nanti,” sejenak pandangan mereka bersatu. 
 
 “Aku tidak punya jawapan  untuk soalanmu itu. Yang pasti, abimu tidak pernah kembali sejak dia  menghantar kamu ke sini,” Fateh gagahi diri untuk berterus-terang.  Lebih dua puluh hari Safiyya menanggung derita akibat peluru yang  terbenam  di bahu kanannya. Andai Basil Mustapha, ayahnya lewat sehari  menghantarnya  di Musytasyfa Al-Syifa itu, Safiyya bakal kehilangan anugerah Allah  itu. Otot tangannya  terurai. Tisu dagingnya mati dan saraf  tangan Safiyya hancur lumat. Semuanya gara-gara bedilan  rejim  zionis yang menggila di Gaza. Fateh tambah bengang apabila mengetahui  Safiyya pernah cuba dihantar menjalani pembedahan di hospital Kaherah,  Mesir melalui pintu sempadan Rafah beberapa hari selepas terkena  tembakan.  Namun gara-gara sekatan di sempadan, Safiyya gagal dibawa keluar dan  tersadai tidak terbela di pintu sempadan Rafah sebelum Basil Mustapha  membawa Safiyya kembali ke Gaza.
 
 “Aku sedang membantu ummi  di kedai runcit kami ketika tiba-tiba kami dihujani tembakan peluru  si zionis. Ummi terkorban. Begitu juga adikku Soufiyyan,” Safiyya  membetulkan jilbabnya yang hampir melorot ke belakang. Beberapa helai  rambut yang terjurai di dahi segera disusup ke dalam jilbab hitamnya.   Cekatan11 Fateh membuka balutan di tangan Safiyya. Bekas luka dicuci penuh berhati-hati. Lurah-lurah kecil terbentuk di dahi Safiyya. Dia  menyeringai  kesakitan. 
  
 
 
 Jabeliya, tempat tumpah darah  Safiyya ialah kawasan terawal yang menjadi sasaran bedilan tentera  Israel. Kawasan yang suatu masa dahulu meriah dengan rimbunan pokok  zaitun, deretan rumah dan beberapa bangunan kilang kini menjadi padang  jarak padang terkukur. Tiada yang tersisa melainkan serpihan-serpihan  batu bata yang berselerakan di sana sini. 
 
 “Aku bersimpati terhadapmu,  Safiyya. Begitu juga dengan mereka yang senasib denganmu,” Fateh  meluahkan  rasa simpati. Wajah Safiyya diseluruhi. Senyumannya yang kini membuat  Fateh tidak lena tidur malam. Lirik matanya benar-benar buat Fateh   tidak keruan. Fateh dapat merasakan denyutan jantungnya menyalahi tempo12  setiap kali berhadapan dengan gadis dari Desa Jabeliya itu. Kadang –kala lidahnya jadi kelu ibarat mulutnya penuh disumbat batu. Keteguhannya  memelihara syariat Ilahi membuatkan Fateh tambah jatuh hati. Biarpun  sakit dan berada dalam kesulitan suasana perang, jilbab masih lekat  di kepala. Saat itu dia terkenang  Welma, kekasihnya. Welma tidak  kalah jika hendak dibandingkan dengan Safiyya. Cuma bezanya, Welma lebih selesa membiarkan rambutnya yang ikal ditayang di khalayak.  Welma  lebih senang mengenakan skirt pendek dan menampakkan kulit kaki yang  halus dan gebu. Mungkin kesalahan tidak boleh seratus peratus diletakkan atas pundak13 Welma. Pemakaian jilbab sememang diharamkan di negaranya.  Welma juga sepertinya, jauh dari biah14 Islamiah dek dasar-dasar negara  yang tidak memihak kepada syariat samawi15. 
 
 “Aku juga bersimpati  terhadapmu,  Fateh,” Fateh sedikit tersentak. Wajah Welma hilang  dari pandangan.  
 
“Kamu bersimpati terhadapku?”  Fateh kebingung-bingungan. 
 
  
  
  
 
 
 “Hakikatnya Fateh, kita  sama-sama  diserang. Bezanya, kami di Palestin diserang secara fizikal sedang umat  Islam di luar sana diasak secara halus,” Safiyya mengurut-urut lembut  tangannya yang telah selesai berganti balutan. Fateh mengangguk-angguk  kecil.  
 
 “Contoh paling mudah,   budaya hedonisme.. Umumnya, ideologi hedonistik ini memfokuskan kepada  perkara yang boleh meningkatkan keseronokan dan mengurangkan  perkara-perkara  yang menjuruskan seseorang kepada kesedihan (increasing pleasure and  reduce pain). Tanpa umat Islam sedari, mereka telah  disuntik   dengan doktrin16 ini. Al-hasil, lahirlah golongan umat yang tidak  berpijak  di bumi realiti. Mereka meletakkan simbol  keseronokan serta kemewahan  sebagai satu prioriti dalam hidup. Hidup bersandarkan angan-angan. Maka  benarlah sabda Baginda SAW junjungan kita, kebaikan generasi pertama umat  ini kerana adanya cita-cita  untuk syahid dan keimanan yang tidak  berbelah  bagi. Binasanya generasi akhir umat ini kerana adanya sifat bakhil dan  banyak berangan-angan,” Safiyya menghela nafas. Fateh membisu. Hanya  otaknya ligat mencerna bicara Safiyya.  
 
 “Cuba kau teliti semula sejarah empayar  Islam.  Fateh, kau akan dapati bahawa jatuhnya empayar  Islam sama ada kerajaan Abasiyyah ataupun Kerajaan Turki Uthmaniyyah  tidak lain dan tidak bukan adalah kerana pemimpin dan rakyat  ketika  itu menganuti aliran ini. Hidup berpaksikan keseronokan dan kemewahan.  Enak tenggelam dibuai hiburan melampau. Maka, suburlah penyakit dalam  hati yang disebut Nabi sebagai wahan. Cintakan dunia dan takutkan mati.  Percaya atau tidak, ideologi inilah yang mengunci bicara, memaku gerak  tindak para pemimpin Islam hari ini. Menikus di hadapan Israel kerana  bimbang untuki maju ke hadapan membantah.  Khuatir segala keselesaan  yang dikecap akan lenyap,” suara Safiyya sedikit keras. Renungannya  tersimpan amarah yang tidak terungkap. Fateh terus selesa mengambil  sikap mendengar. Fateh hampir lupa, Safiyya mahasiswa tahun akhir dalam  bidang sosiologi dan sejarah di Universiti Islam Gaza. Sebelum sempat  menamatkan pengajian, bangunan kuliah ranap tersungkur di dada  bumi. 
 
 “Jihadmu bukan di sini,  Fateh,” lemah  kedengaran di hujung suara gadis dari desa Jebaliya itu. Otot dahi Fateh tegang. Mulutnya yang sedikit ternganga cepat-cepat digetap. 
 
 “Apa salahkah aku ingin menjadi Salahuddin Al-Ayubbi?” Fateh akhirnya menzahirkan rasa tidak puas  hati yang bergulat dalam diri. Safiyya tersengih. Fateh rasa seolah-olah cita-citanya diperkecil-kecilkan. Seolah-olah dia tidak layak untuk  menyimpan impian setinggi itu. 
 
 “Aku lebih suka engkau menjadi  Al-Fateh. Sesuai dengan namamu Fateh,” ujar Safiyya dalam nada  berseloroh. 
 
 “Sultan Muhammad Al-Fateh?”  Fateh ingin kepastian. 
 
“Aku hargai pengorbananmu  datang menjejakkan kaki di bumi Palestin ini untuk membantu kami. Ya,  sememangnya di sini kami memerlukan bantuan pakar perubatan sepertimu.  Namun, antara sedar atau tidak, umat Islam di luar sana jauh lebih sakit dari kami yang sedang terlantar di hospital ini. Mereka lebih perlukan  rawatan dan perhatian, Fateh” Safiyya kembali serius.  
 
 “Kota Konstantinopel hanya  berjaya dibuka setelah 800 tahun dikhabarkan Rasulullah SAW.  Sultan  Muhammad berjaya membuktikan kebenaran sabda baginda dengan usaha yang  tidak sedikit. Sejak kecil baginda telah disuguh17kan bahawa bagindalah  yang akan membuka Konstantinopel.  Malah kelahiran Salahuddin sendiri   telah dirancang seawal zaman Imam Al-Ghazali. Inilah jihadmu, Fateh.  Di bahumu  tergalas satu tanggungjawab untuk merancang dan melahirkan  generasi sehebat Al-Ayyubi dan secekal Al-Fateh. Hanya generasi berjiwa  besar seperti mereka sahaja  yang dapat membumikan cita-cita seluruh  umat Islam yakni melihat masa depan menjadi milik Islam,” berdiri  bulu roma Fateh mendengar hujah Safiyya. Lafaz takbir perlahan-lahan  mercup18 di tubir bibirnya.  
 
 “Aku akan pulang ke Turki  dalam tempoh masa terdekat ini,” Fateh menelan air liur. Fateh nekad  pagi itu dia akan berterus terang tentang isi hatinya. 
 
 “Safiyya, sudikah engkau  mengikut aku?” kerongkongnya perit. Awalnya, Safiyya tidak menunjukkan  sebarang reaksi. Lambat-lambat Safiyya mengangkat muka, memandang tepat  wajah Fateh.
 
 
 “Maafkan aku, Fateh, aku  harus terus tinggal di sini. Di sini jihad aku bermula dan bertapak.  Pulanglah engkau ke tanah airmu. Aku ada perjuangan aku dan engkau ada  perjuangan engkau. Biarpun perjuangan berbeza tetapi matlamat kita sama.  Setiap kita harus menjadi secekal Al-Fateh dan segagah Al-Ayyubi andai  kita mahu menawan kembali Baitul Maqdis. Anggaplah Palestin hari ini  ibarat Konstantinopel. Setiap umat Islam seharusnya bercita-cita untuk  menjadi Al-Fateh dan paling tidak pun menjadi seperti  tentera-tenteranya.  Bukankah Sultan Muhammad Al-Fateh itu sebaik-baik raja yang memimpin  sebaik-baik tentera?”  Safiyya tega dengan keputusannya. Fateh  tahu dia tiada upaya mengubah fikiran Safiyya. Dari awal lagi dia boleh  mengagak apa jawapan yang bakal diterima. Biarlah. Sekurang-kurangnya  dia tidak terus berteka-teki dan menyimpul andaian sendiri. 
 
  “Aku hormati keputusanmu,”  awan pilu berarak menyelubungi wajah Fateh. Fateh berlalu sambil  membujuk19  kalbu. Fateh tidak menyangka itu pertemuan terakhir mereka. Safiyya  menghilangkan diri sejak itu. Tiada siapa nampak kelibatnya lagi di  musytasyfa.  Fateh dirundung rasa bersalah. Namun, Fateh yakin Safiyya  pergi bukan kerana  jauh hati dengannya.
 
    “Abi! Abi!” Fateh menoleh.  Seorang kanak-kanak lelaki menerpa ke arah Fateh yang sedia mendepangkan tangan. Welma ayu dalam jilbab hijau pucuk pisang mengekori kanak-kanak  itu di belakang. Jubahnya beralun-alun ditiup angin. Tubuh kecil itu  dirangkul Fateh. Bertubi-tubi ciuman Fateh singgah di pipinya. 
 
 “Siapa yang akan menawan  Baitul Maqdis?” Fateh separuh menjerit. Soalan itu seringkali singgah  di cuping telinga anaknya.  
 
 “Saya, abi!” sambut anak  kecil seperti biasa. Tangannya dijulang tinggi-tinggi. Satu ciuman  singgah  dipipi munggilnya.
 
 “Kamu pasti, anakku?”  Welma mengangkat kening sambil merapatkan wajahnya ke wajah anaknya  sehingga dahinya mencecah dahi anaknya. 
 
 “Saya pasti ummi kerana saya  Salahuddin Al-Ayubbi zaman ini!” Salahuddin petah membalas walaupun  sedikit pelat. Gelak tawa mereka beranak-pinak.  
 
 "Terima kasih, Safiyya. Moga  perjuanganmu dan perjuanganku tidak sia-sia," bisik hati Fateh. Tangan  Welma dirangkul. Salahuddin mengeliat kecil dalam dukungan Fateh.  Beriringan mereka berjalan meninggalkan Selat Bosphorus bersama adunan  semangat Al-Fateh dan Al-Ayubbi. 
  
 
Glosari: 
- Bosphorus - Selat Istanbul; sebuah selat yang memisahkan Turki pada bahagian eropah dan bahagian Asia; menghubungkan Laut Marmara dan Laut Hitam
- Konstantinopel - nama lama bagi Instanbul
- bersipongang - bergaung, bergema
- jihat - arah, pihak, sisi
- Atma - jiwa, nyawa
- musytasyfa - hospital
- pandak - pendek
- ghazwah - perang
- At-Tayyar - yang terbang
- Khali - bapa saudaraku; panggilan kepada bapa saudara sebelah ibu
- cekatan - cekap, cepat membuat kerja
- tempo - irama, rentak
- pundak - bahu
- biah - persekitaran
- syariat samawi - agama langit
- doktrin - prinsip atau kepercayaan yg dianggap benar dan satu-satunya yg dapat   diterima
- disuguhkan - ditonjolkan, disediakan, dipaparkan
- mercup - timbul atau lahir dengan tiba-tiba
- membujuk - memujuk